Sunday, February 27, 2011

Melayu Juga Pendatang?

Selalu kita dengar istilah 'Ketuanan Melayu', 'Kontrak Sosial', 'Hak Istimewa Bumiputra' dan lain-lain lagi istilah yang banyak berpihak kepada kaum Melayu. Semua ni direka untuk memberi keistimewaan kepada kaum Melayu kerana kaum Melayu adalah penduduk asal Malaysia (atau nama lamanya Tanah Melayu). Tapi, betul ke Melayu ni penduduk asal Tanah Melayu?

Kalau kita semak balik buku teks Sejarah zaman kita sekolah menengah dulu, sejarah Tanah Melayu diceritakan hanya selepas Parameswara sampai ke Melaka, iaitu sekitar tahun 1402. Asal Parameswara adalah seorang Hindu. Ramai yang mengatakan beliau ada memeluk Islam selepas mengahwini Puteri Pasai dan menggunakan nama 'Iskandar Shah', tetapi sehingga kini, masih belum ada bukti yang kukuh yang menunjukkan Parameswara mati sebagai Muslim.

Buku teks Sejarah terus menceritakan kedatangan Islam ke negeri Melaka, penjajahan British, kemasukan buruh-buruh dari India dan China, serangan Jepun, dan akhirnya pembentukan Malaysia.

Apa yang terjadi sebelum 1402? Sebelum Parameswara sampai ke Melaka? Adakah Tanah Melayu ini tidak dihuni oleh sesiapa selain orang asli? Persoalan yang susah dijawab oleh sesiapa. Tidak banyak sejarah yang direkod sebelum 1402. Sama ada disengajakan atau tidak disengajakan.

3 Februari 2005, media tempatan melaporkan kewujudan satu tapak arkeologi yang diberi nama Kota Gelanggi. Terletak di hutan simpan berhampiran Sungai Lenggiu, Johor Darul Takzim, Kota Gelanggi dikatakan telah dijumpai oleh Raimy Che-Ross, seorang penyelidik bebas.

Tapak Kota Gelanggi


Kota Gelanggi dikatakan menyimpan seribu satu fakta dan sejarah mengenai Tanah Melayu sebelum tahun 1402, iaitu sebelum kedatangan Parameswara. Ada mengatakan bahawa Kota Gelanggi adalah sebahagian daripada Kerajaan Ayuthia, kerajaan Siam purba. Ada juga mengatakan ia adalah kota peninggalan Dinasti Indian Chola sekitar tahun 1025. Mana yang betul, itu aku tak pasti. Yang pastinya, tiada siapa mengaitkan kota tersebut dengan mana-mana kerajaan Melayu kerana pada kota tersebut, dikatakan terdapat banyak patung Buddha atau Hindu yang sangat besar.

21 Mac 2005, kerajaan telah menghantar 15 orang penyelidik terdiri daripada Jabatan Muzium Malaysia, Pusat Remote Sensing Negara (MACRES), Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Persatuan Ikatan Arkeologi Malaysia, Yayasan Warisan Johor, Jabatan Perhutanan Johor, dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Johor untuk menyiasat sejauh mana kebenaran kewujudan Kota Gelanggi. Hasil kajian tersebut, mereka membuat kesimpulan bahawa Kota Gelanggi tidak wujud.

Sebelum penyelidik kerajaan tiba di Kota Gelanggi, Prof Dr Ibrahim Komoo dari Universiti Kebangsaan Malaysia memberitahu bahawa terdapat tanda-tanda tapak Kota Gelanggi telah dibersihkan, dipercayai untuk tujuan pembalakan. Yang peliknya, kawasan tersebut adalah kawasan hutan simpan. Sebarang pembalakan adalah diharamkan di mana-mana hutan simpan.

28 April 2006, kerajaan secara rasminya mengesahkan Kota Gelanggi tidak wujud dan sehingga kini, kisah Kota Gelanggi tidak lagi dihebahkan oleh mana-mana media tempatan. Kenapa tidak dihebahkan, aku pun tak tahu.

Ada yang mengatakan jika benar Kota Gelanggi wujud, seluruh sejarah Tanah Melayu perlu diubah dan Melayu bukanlah penduduk asal Tanah Melayu. Bila bukan penduduk asal, Ketuanan Melayu akan menjadi tidak relevan. Bila dah tak releven, ada pihak yang akan hilang kuasa atau kekayaan.

Sejauh mana kebenaran Kota Gelanggi, aku sendiri tidak pasti. Apa yang aku mahu, biarlah Kota Gelanggi ini terus dikaji tanpa wujud unsur-unsur bias. Sejarah sepatutnya tidak perlu dipolitikkan. Ianya perlu untuk mengajar kita agar tidak mengulang kesilapan lampau dan untuk kita mengenal asal-usul negara kesayangan kita ini.

Tak kisahlah siapa pun penduduk asal Tanah Melayu. Apa yang penting, sejarah perlu diketahui oleh semua orang, semua generasi dan Malaysia ini ditadbir dengan penuh adil dan saksama tanpa memberi keistimewaan kepada mana-mana kaum. Kita sama-sama majukan negara ini, bukan kaum tertentu sahaja.

*Kronologi kisah Kota Gelanggi ini berdasarkan kajian aku adalah tepat. Cuma tarikh dan tahun sahaja mungkin agak berbeza kerana terdapat banyak pendapat yang berbeza-beza. Aku cuma pilih tarikh yang disebut oleh banyak pihak untuk post ini.

Rujukan:

Evidence of land clearing as recent as six months ago
Tracking down Kota Gelanggi
Rewriting History: Kota Gelanggi (the lost city)
Malay history: What’s missing from the textbooks
the lost city, the lost author…and other mystifying stuff…
Parameswara (sultan)
Kota Gelanggi

0 comments:

Post a Comment